Saturday 31 December 2011

Selamat Tinggal Kenangan 2011

2012 bakal menjelang sedikit masa lagi. Seperti tahun-tahun sudah, saya tidak menyambut ambang tahun baru. Azam tetap dipasang tetapi sehingga habis tahun, tidak satu pun yang tertunai. Hehe...

2011 bagi saya adalah tahun yang penuh cabaran. Pada awal tahun lagi, nenda tercinta telah pergi menghadap Ilahi. Arwahlah satu-satunya nenek yang saya masih ada. Pemergiannya benar-benar merentap jiwa saya. Walaupun saya tidak begitu rapat dengan nenek [yang kami panggil mak atok ] ia tetap satu kehilangan yang sangat besar. Sehingga sekarang, saya beranggapan bahawa arwah masih ada.

Pemandangan dari depan ofis di Serdang.

2011 tahun saya meninggalkan ASWARA. Saya menjadi penanam anggur yang berjaya selama lima bulan. Kemudian saya mendapat pekerjaan di bidang yang saya sangat minati, penulisan. Tetapi pekerjaan ini tidaklah seindah yang diharapkan. Saya bekerja hanya untuk mencari keuntungan untuk pihak lain, dan bukannya menyampaikan ilmu kepada pembaca seperti yang sepatutnya. Huhu...




2011 juga tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif kepada idola yang saya sayangi, Jaejoong. Walaupun mahkamah telah mengarahkan supaya pihak media elektronik tidak menyekat kerjaya mereka, ia tidak memberi sebarang kesan pun. Media seperti lebih takut akan presiden yang satu itu daripada mahkamah mereka sendiri. Diharap 2012 memberi sinar baharu kepada Jaejoong dan JYJ, dan juga DBSK HoMin.

Hujan di waktu petang, jalan sesak. Saya berani mengambil gambar pelangi dari dalam kereta.

2011, saya berkenalan dengan baby Saga FL berwarna silver. Tetapi hanya sebulan selepas Raya Aidilfitri, barulah saya memandunya pergi dan balik kerja. Sebagai perempuan, mungkin saya kurang pandai menjaga kereta. Buktinya banyak barang yang bersepah di dalam kereta; payung, lock stereng, bungkusan air 3 dalam 1, kasut [tetapi hanya sepasang, itupun untuk memandu.], bantal leher yang langsung tidak digunakan, bantal bulat yang selalu jatuh ke tempat letak kaki, dan kotak tisu. Pada akhir tahun, kereta saya curang dengan sebuah kereta Honda lama berwarna merah. Terlukislah calar panjang di sebelah kiri.

2011, saya menjadi pengunjung tetap kepada tiga buah blog komik tempatan. Lukisan mereka sangat comel dan lebih Malaysia. Saya pencinta komik, tidak dapat dinafikan. Komik yang saya kumpul ialah Doraemon, Shin Chan, serta Detektif Conan. Majalah komik pula ialah Arena [sehingga tahun 2009]. Bila membaca komik pelukis Malaysia, terasa kita sangat dekat dengan identiti.




2011 yang terakhir, saya sempat melawat pusat urut Thai, Arokaya di Aeon AU2. Sejak dari zaman PeTA lagi, saya kepingin untuk berurut untuk melegakan badan yang sakit. Apabila bekerja, badan rasa ditarik apabila mengejar due date. Saya tak berani pergi berurut kerana takutkan harganya yang mungkin tidak mampu untuk dibayar. Dah lama saya perhatikan Arokaya [itupun saya dapat tahu dari blog seseorang meskipun Aeon AU2 sangat dekat dengan rumah]. Atas sebab-sebab tertentu, saya tidak berani untuk singgah ke sana. Hari ini, saya asalnya mahu menggunting rambut di kedai sebelah. Tetapi kedai itu terlalu ramai pelanggan dan lelaki. Jadi saya mengikut emak saja masuk Arokaya. Murah, dan sangat melegakan. Tetapi emak kata urut Jawa atau urut Bali lebih berkesan. Insya-Allah, kami mahu cuba satu hari nanti.

2011 hampir melabuhkan tirai. Apabila datangnya tahun baharu, kita pasti bertanya apakah azam kita untuk tahun ini. Hoho. Seperti yang saya katakan di facebook Next day, next week, next month, next year. Happy 2012 everyone. Azam tahun baru nak jadi lebih tegas supaya tak selalu kena buli. Tinggalkan kenangan sedih 2011 dan sambut 2012 dengan penuh harapan...

Diharap 2012 ini memberi sinar kebahagiaan kepada saya dan semua umat manusia di Malaysia. Diharap Jaejoong dan JYJ, serta DBSK HoMin mendapat kejayaan dan kegemilangan yang layak mereka terima. Diharap mereka bersatu semula, dan kemudian dapatlah saya berkahwin dengan Jaejoong. Hoho.

Selamat Tahun Baru...!


No comments:

Post a Comment